Search

Lelaki maut dihempap jengkaut

June 4, 2025

Info X Reporters

RANAU: Seorang lelaki maut dihempap jentera jengkaut dalam kejadian di Kampung Montoki, Kundasang, petang tadi.

Kejadian berlaku ketika mangsa berusia 41 tahun melakukan kerja-kerja pembaikan jentera berat berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Penolong Penguasa Bomba, Rantey Fred berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.38 petang.

Katanya, sepasukan enam anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, didapati seorang mangsa lelaki dihempap jentera jengkaut dan tersepit ketika menjalankan kerja pembaikan jentera berkenaan.

“Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain wujud di lokasi kejadian, operasi ditamatkan pada jam 6.57 petang,” katanya. – Info X