Search

Lelaki ditahan pukul jiran warga emas

June 8, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki bertindak ganas apabila memukul jirannya yang juga warga emas menggunakan mangga kunci dalam kejadian di Flat Sri Balung, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa berusia 60-an dikatakan diserang secara tiba-tiba ketika mahu turun dari rumahnya sebelum dipukul di bahagian kepala dengan objek keras.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada isteri mangsa.

Katanya, akibat serangan itu, mangsa mengalami kecederaan dan segera naik semula ke rumah untuk mendapatkan bantuan.

“Susulan kejadian itu, mangsa meminta isterinya menghubungi polis dan ambulans sebelum tampil membuat laporan di balai polis.

“Bertindak atas maklumat diterima, sepasukan anggota dari Balai Polis Sri Indah menjalankan siasatan dan berjaya menahan suspek di flat yang sama tidak lama kemudian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jasmin berkata, suspek berusia 44 tahun turut menyerahkan sebiji mangga kunci yang dipercayai digunakan dalam serangan itu.

“Suspek bersama barang rampasan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata atau objek berbahaya,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan. – Info X