Search

Lelaki warga asing maut ditikam ketika majlis takbir Aidiladha

June 8, 2025

Info X Reporters

KINABATANGAN: Akibat perselisihan faham, seorang lelaki maut selepas ditikam ketika menghadiri majlis malam takbir Hari Raya Aidiladha di kawasan perumahan pekerja Ladang Unico Desa Oil Mill, di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa dikatakan diserang tiga lelaki ketika berada di sebuah rumah pekerja di Blok LQ-K2, perumahan kilang berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan D Ravi, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan daripada anak saudara mangsa di Balai Polis Lahad Datu, pada jam 4.40 pagi keesokannya.

Katanya, hasil siasatan awal, ketiga-tiga suspek dipercayai berada dalam keadaan mabuk akibat pengambilan minuman keras.

“Ketika kejadian, mangsa cuba menyelamatkan diri masuk ke dalam rumah, namun dikejar suspek yang bersenjatakan pisau.

“Seorang daripada suspek kemudiannya memecahkan cermin tingkap sebelum masuk mengejar mangsa di dalam rumah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, dua daripada suspek dipercayai bertindak menikam mangsa di bahagian ulu hati dan belakang tubuh sebelah kiri.

Katanya, mangsa yang parah sempat meminta pertolongan sebelum rebah di dalam longkang berhampiran lokasi kejadian.

“Semua suspek terus melarikan diri dan mangsa dibawa ke Hospital Lahad Datu, namun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan,” katanya

Susulan kejadian itu, Ravi berkata, polis berjaya menahan dua daripada tiga suspek yang dikenali sebagai Basril Karim, 46, dan Risal Asnawing, 30 tahun.

“Kedua-dua suspek tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan mereka turut mengaku berada di lokasi kejadian bersama seorang lagi rakan yang kini masih diburu.

“Polis berjaya merampas sebilah pisau sepanjang 17 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek ketiga diminta menghubungi balai polis terdekat bagi membantu siasatan. – Info X