Search

Dua bot tunda ditahan, langgar syarat lesen

June 8, 2025

Info X Reporters

KUDAT: Tindakan dua bot nelayan jenis pukat tunda menjalankan aktiviti penangkapan ikan kurang dari tiga batu nautika dari pantai mengundang padah apabila berjaya dikesan dan ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), semalam.

Kedua-dua bot berkenaan ditahan hasil maklumat yang diperoleh daripada Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Sabah kira-kira jam 6.30 petang dan 7 malam.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, bot ronda APMM yang sedang melaksanakan rondaan menerusi Op
Sejahtera, Op Pluto Timur, Op Cegah PATI dan Op Tiris segera digerakkan ke lokasi sasaran.

“Ketika tiba, bot terbabit didapati sedang menarik pukat pada jarak yang dilarang iaitu kurang tiga batu nautika dari pantai di kedudukan kira-kira 2.6 batu nautika timur laut muara Marina, di sini.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, enam individu berada di atas bot, termasuk tekong, dua daripadanya warga tempatan dan empat lagi adalah warga Indonesia.

“Semua mereka memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata sebuah lagi bot nelayan turut ditahan di lokasi kira-kira 2.2 batu nautika timur perairan Tagumamal, di sini.

“Kali ini, bot terbabit dilaporkan membawa sembilan kru, termasuk seorang warga Filipina yang didapati mempunyai dokumen pengenalan diri yang meragukan.

“Keseluruhannya, APMM merampas lebih 1.5 tan ikan pelbagai jenis dan dua tan ikan baja hasil daripada kedua-dua penahanan berkenaan,” katanya.

Tambah beliau lagi, semua suspek termasuk bot dan hasil rampasan dibawa ke jeti Zon Maritim Kudat dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen penangkapan ikan serta Akta Imigresen 1959/63 kerana pemilikan dokumen yang meragukan.

“APMM akan terus memperketatkan rondaan dan pemantauan di seluruh perairan negeri ini bagi membanteras aktiviti penangkapan ikan secara haram yang bukan sahaja melanggar undang-undang, malah menjejaskan sumber laut negara,” katanya. – Info X