PUTATAN: Lelaki warga emas melecur di tapak kaki ketika cuba menyelamatkan diri daripada terperangkap dalam kebakaran dua rumah di Kampung Dumpil, di sini, malam tadi.
Mangsa Ali Ibrahim, 66, yang cedera diberi rawatan awal oleh pasukan bomba sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Penolong Penguasa Bomba, Noorsherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.29 malam.
Katanya, seramai 21 anggota dan pegawai bersama jentera digerakkan ke lokasi, dibantu BBP Penampang dan Kota Kinabalu.
“Kebakaran membabitkan dua rumah jenis tidak kekal dan kebakaran itu telah memusnahkan keseluruhan kedua-dua kediaman berkenaan.
“Terdapat seorang mangsa terbabit melecur di bahagian tapak kaki. Mangsa diberi rawatan awal sebelum diserahkan kepada pihak ambulans untuk dihantar ke hospital bagi rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran, dua pancutan dengan sumber air dari tangki jentera.
“Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan berhampiran dan berjaya menyelamatkan dua rumah daripada terbakar.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 9.52 malam sebelum operasi ditamatkan pada jam 12.37 tengah malam,” katanya yang memaklumkan punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – Info X