KOTA KINABALU: UMNO menzahirkan keyakinan kerusi Parlimen Sepanggar mampu ditawan semula pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang selepas melihat situasi semasa rakyat kini kembali memilih Barisan Nasional (BN).
Timbalan Pengerusi UMNO Sabah merangkap Ketua UMNO Bahagian Sepanggar, Datuk Yakub Khan berkata, UMNO Sepanggar berikrar memberi sokongan penuh kepada calon yang bakal diputuskan pucuk pimpinan sekaligus memastikan menang dengan majoriti besar pada PRU15 kelak.
“Pengundi Sepanggar kini lebih cenderung kepada BN apabila dibuktikan dengan beberapa kajian dijalankan khususnya di kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) di seluruh Sepanggar.
“Kita bukan bercakap besar tetapi ini adalah realiti apabila pengundi sudah mula bosan dengan keadaan senario politik yang tidak stabil menyebabkan rakyat menderita.
“Rakyat inginkan kerajaan yang stabil selain calon ahli parlimennya bersama-sama dalam kerajaan agar pembangunan dapat dinikmati rakyat khususnya di kawasan Parlimen Sepanggar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap Taklimat dan Bengkel Persiapan Jentera PRU15 serta Majlis Berbuka Puasa Anjuran UMNO Bahagian Sepanggar, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Yakub yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah berkata, beberapa persiapan ke arah PRU15 sedang giat dijalankan bagi memastikan hasrat menawan parlimen Sepanggar dapat direalisasikan.
“UMNO Sepanggar bekerja bukan bermusim malahan sentiasa mendampingi rakyat tanpa mengira latar belakang politik.
“Ia juga menjadi faktor utama kita yakin BN adalah pilihan tepat di kawasan Sepanggar ini,” katanya.
Menurutnya, semua gerak kerja perlu diaktifkan segera bagi memastikan jentera pilihan raya dapat beroperasi dalam tempoh terdekat.
“PRU15 sudah semakin dekat dan semua jentera perlu bersiap sedia dengan tugas hakiki mereka.
“Kita yakin UMNO sangat berpengalaman dalam kerja-kerja PRU selepas berhadapan dengan beberapa siri pilihan raya,” katanya. – Info X