Search

Pertimbang langkah proaktif selamatkan industri persuratkhabaran – Lichong Angkui

June 15, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan diharap mempertimbangkan langkah-langkah proaktif untuk menyelamatkan industri persuratkhabaran yang semakin mengecil ketika ini.

Ketua Pengarang Utusan Borneo Sabah, Datuk Lichong Angkui berkata, ia termasuk menerusi insentif kewangan, geran transformasi digital, dan kerjasama strategik yang membolehkan media tempatan terus kekal relevan dan berdaya saing.

“Dalam mengharungi kemajuan ini, marilah kita sama-sama merenung sejenak cabaran besar yang sedang dihadapi oleh industri media di negara ini. Kerana pada hakikatnya, banyak organisasi media sedang bergelut untuk terus bernafas.

“Persaingan dari media sosial dan platform digital global, penurunan hasil iklan, serta perubahan pola pembacaan rakyat menjadikan keadaan kami – ‘tidak baik-baik saja’ — lantaran pendapatan semakin menyusut, sedangkan kos operasi terus meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025, di Kuala Lumpur, semalam.

Sementara itu, Lichong berharap Majlis Media Malaysia yang ditubuhkan bukan saja menjadi badan pemantau kerajaan, tetapi lebih penting menjadi pohon pelindung yang teguh akarnya, bebas serta inklusif dalam memelihara integriti dan kebebasan media di negara ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas kejayaan merealisasikan penubuhan Majlis Media Malaysia yang telah diperjuangkan sejak puluhan tahun lalu.

“Tentunya, di pentas HAWANA 2025 ini menjadi detik manis dan bersejarah untuk kami raikan dengan senyuman kegembiraan, kerana impian untuk melihat terbentuknya Majlis ini, akhirnya telah menjadi realiti,” katanya.

Dalam ucapannya, Lichong juga merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan, khususnya Kementerian Komunikasi, di atas inisiatif menubuhkan Tabung Kasih@HAWANA, yang sehingga kini telah membantu ratusan pengamal media, termasuk mereka yang sudah bersara serta yang masih bertugas tetapi menghadapi kesukaran hidup.

Katanya, inisiatif berkenaan membuktikan keprihatinan kerajaan hari ini, dengan mengambil kira hakikat bahawa, di sebalik ketajaman pena wartawan itu, sebenarnya masih ada ruang untuk rasa belas ehsan dan empati.

“Akhir sekali, adalah menjadi harapan kami warga media seluruhnya agar sambutan HAWANA ini menjadi titik-tolak kepada masa depan yang lebih cerah untuk dunia kewartawanan Malaysia — yang bebas, beretika dan mampan,” katanya. – Info X