Search

Penunggang motosikal maut dirempuh kereta dari arah belakang

June 17, 2025

Info X Reporters

PENAMPANG: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangi dirempuh dari arah belakang sebuah kereta dalam kemalangan yang berlaku di Lebuhraya Pan Borneo, Kampung Kiranau, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 11.20 malam itu, mangsa warga asing berusia 41 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadkan selepas mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, kejadian kemalangan itu membabitkan sebuah Perodua Bezza dan sebuah motosikal.

“Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kereta yang dipandu oleh seorang wanita tempat berusia 26 tahun dari arah Inobong menuju ke Kota Kinabalu.

“Ketika melalui Jalan Pan Borneo, Kampung Kiranau yang masih dalam pembinaan telah hilang kawalan lalu melanggar belakang sebuah motosikal yang ditunggang mangsa dari arah dan jalan yang sama,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pegawai penyiasat trafik menjalankan siasatan di lokasi kemalangan di Lebuhraya Pan Borneo, Kampung Kiranau, Penampang.

Menurutnya, akibat daripada perlanggaran itu penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang bertugas.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), Kota Kinabalu untuk tujuan bedah siasat manakala pemandu kereta ditahan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Penampang untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan polis meminta saksi kejadian untuk tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan dan berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-8095133,” katanya.

Sementara itu, Sammy menasihatkan orang awam supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu di jalan raya dan meminta agar tidak menularkan sebarang imej atau klip video tempat kejadian di rangkaian media sosial bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa. – Info X