Search

PRN17: Rakyat Sabah yang dominan, bukan parti – Salleh

June 17, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Salleh Said Keruak, berkata soal dominasi politik Sabah ditentukan oleh rakyat negeri ini, bukannya parti.

Beliau menegaskan masa depan politik negeri ini tidak boleh terus dibelenggu sentimen perkauman sempit atau perbalahan antara parti tempatan dan parti nasional.

Jelasnya, kuasa penentu dalam politik negeri ini bukanlah jenama parti, sebaliknya suara dan aspirasi rakyat Sabah sendiri.

“Kita jangan terperangkap dalam perdebatan siapa lebih baik, parti tempatan atau parti nasional.

“Bagi saya, yang paling penting bukan label parti tetapi siapa yang betul-betul membawa suara rakyat. Yang dominan mesti rakyat Sabah sendiri,” katanya.

Beliau dilaporkan berkata demikian pada Pelancaran Program Radu Tatap Radu Peringkat Daerah Mengundi Pangi anjuran Barisan Nasional (BN) Sabah di Kunak, pada Isnin.

Bendahari UMNO Sabah itu, berkata parti hanyalah wadah, namun yang lebih utama bagaimana ia digunakan memperjuangkan kebajikan dan pembangunan untuk rakyat.

“Saya dari BN, parti nasional, tetapi saya percaya masa depan Sabah mesti ditentukan oleh rakyat Sabah. Kita harus pilih pemimpin yang bekerja untuk semua, bukan yang hanya mainkan sentimen sempit,” katanya.

Beliau turut menyeru rakyat Sabah, khususnya di pantai timur seperti Kunak, supaya menolak politik perkauman dan kebencian yang boleh memecahbelah perpaduan negeri ini.

“Kita perlukan wakil rakyat yang boleh bantu selesaikan masalah rakyat. Rakyat mahu penyelesaian, bukan retorik,” katanya.

Walaupun tidak mengaitkan ucapannya dengan mana-mana kenyataan, namun apa yang disebut Salleh itu dipercayai merujuk kepada kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengenai parti tempatan yang perlu dominan di Sabah.

Hajiji pada Ahad lalu menegaskan parti tempatan mesti dominan dalam politik Sabah dan diutamakan dalam membentuk kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Beliau menekankan perkara itu dalam ucapan perasmian Kongres Agung Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Pusat 2025 di Dewan Terbuka Seri Dungkuan Kampung Rampayan Laut, Kota Belud. – Info X