KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob selesai memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disiasat hampir empat jam di pejabat suruhanjaya berkenaan.
Sumber memberitahu, ADUN Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu meninggalkan pejabat SPRM Sabah, di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di sini, pada jam 12.30 tengah hari tadi.
Katanya, Pengerusi Qhazanah itu dilepaskan dengan jaminan dan akan didakwa pada penghujung bulan ini.
Terdahulu, Info X melaporkan Yusof tiba di pejabat SPRM Sabah kira-kira jam 8.45 pagi selepas dipanggil untuk memberi keterangan.
Terdahulu dalam perkembangan lain, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan dua ADUN dan seorang individu awam akan ditahan dan didakwa di mahkamah berhubung kes rasuah dikaitkan dengan penerokaan sumber mineral Sabah.
Perkara itu disahkan Azam ketika ditemui pada satu program di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Sabah, di Sepanggar, dekat sini, hari ini.
Beliau mengesahkan, dua ADUN dan seorang individu awam itu sedang dalam proses untuk ditahan dan akan dihadapkan ke mahkamah sebelum akhir bulan ini.
“Ya, kes ADUN ini saya ingin menyatakan bahawa ada dua suspek daripada pihak ADUN dan seorang awam dalam proses untuk kita menjalankan tangkapan dan memberitahu mereka tarikh mereka kena hadir ke mahkamah.
“Tarikh saya tidak akan memberitahunya sehingga proses ini selesai tetapi saya beri jaminan mereka akan didakwa di mahkamah dalam bulan ini, mungkin pada akhir bulan ini.
“Ia bergantung kepada tarikh mahkamah yang akan ditetapkan kerana mahkamah rasuah di Sabah ada tarikh-tarikh tertentu dan kita sedang mendapatkan tarikhnya daripada mahkamah.
“Jadi mereka ini dalam proses untuk dipanggil untuk dijalankan proses rakaman percakapan,” katanya.
Pada 12 Jun lalu, Azam dilaporkan berkata, sekurang-kurangnya dua individu akan didakwa di mahkamah berhubung dakwaan rasuah membabitkan ADUN tertentu di Sabah.
Katanya, beberapa individu sudah dikenal pasti dan tindakan pendakwaan akan dilakukan dalam masa terdekat. – Info X