KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hampir pasti membentuk kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Perkara itu didedahkan Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah yang membayangkan perkara itu berdasarkan hasrat disuarakan berulang-kali Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Keyakinan itu jelas memandangkan Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS sudah beberapa kali menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan PH,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Inanam yang diketuai Datuk Dr Roland Chia di Dewan Masyarakat Menggatal, kelmarin.
Masiung berkata, dalam masa sama, PH Sabah juga berpendirian menyokong kepimpinan dan pentadbiran Hajiji.
Bagaimanapun katanya, kerjasama kedua-dua gabungan yang sedia terjalin itu hanya akan diputuskan pada mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) GRS tidak lama lagi.
“Jika kerjasama ini dimuktamadkan, GRS dan PH bakal membentuk jentera bersama di setiap daerah bagi memastikan calon dalam muafakat GRS meraih kemenangan dalam PRN17.
Mengulas lanjut ADUN Kuamut itu menegaskan, GRS berkongsi pandangan yang sama dengan Barisan Nasional (BN) untuk tidak menjalinkan kerjasama pada PRN17.
Masiung optimis, hubungan kerjasama GRS dan PH dalam Kabinet Sabah pada masa ini cukup baik dan ia menjadi perintis kepada kestabilan politik negeri.
Jelasnya, Gagasan Rakyat pimpinan Hajiji bersedia menjadi perisai di barisan hadapan untuk memastikan calon yang menjadi muafakat GRS menang dalam PRN17 nanti. – Info X