PUTATAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata kerajaan negeri pimpinannya tidak terjejas dengan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dilapor akan membuat pendakwaan terhadap dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan.
Pendakwaan yang bakal dibuat pada akhir Jun itu berkaitan kes rasuah yang dikaitkan dengan isu pelesenan aktiviti penerokaan sumber mineral di negeri ini seperti tular melalui beberapa video yang disebarkan sebuah portal berita sebelum ini.
“Tidak akan memberi kesan. Saya dapat maklum mereka akan membuat pendakwaan terhadap dua orang, saya tidak tahu siapa.
“Jadi apapun kita menegakkan, proses undang-undang itu mesti berjalan sebaik mungkin. Biar mahkamah memutuskan sama ada mereka bersalah atau tidak.
“Ada ruang untuk mereka membersihkan nama mereka,” katanya ditemui selepas melawat mangsa kebakaran di Dewan Seri Putatan, di sini, petang tadi.

Ketua Menteri diminta mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, pagi tadi yang mendedahkan dua ADUN dan seorang individu awam bakal didakwa, kemungkinan pada akhir Jun ini.
Hajiji berkata, beliau mengambil maklum perkara itu dan menghormati proses undang-undang serta membiarkan jabatan yang berwajib untuk mengambil tindakan sewajarnya.
“Kerajaan negeri komited untuk memastikan bahawa kita menghormati bukan saja undang-undang tetapi mewujudkan integriti di kalangan anggota kerajaan dan juga penjawat awam,” katanya.
Difahamkan, seorang daripada ADUN yang bakal didakwa SPRM ialah ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob.
Menurut sumber, Pengerusi Qhazanah Sabah itu hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM Sabah pagi tadi dan selesai selepas kira-kira empat jam.
Seorang lagi ADUN dikatakan tidak hadir untuk memberi keterangan pada hari ini. – Info X