KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menafikan dakwaan yang mengaitkan beliau dengan pelupusan pinjaman tidak berbayar (NPL) Sabah Development Bank (SDB).
Presiden Parti Warisan itu berkata, dakwaan itu sengaja dibuat bagi mengelirukan rakyat dan merosakkan reputasi dirinya.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tidak berasas dan bermotif jahat yang disebarkan oleh sebuah portal dalam talian yang mengaitkan saya dengan kononnya pelupusan NPL semasa saya Ketua Menteri dan Pengerusi Lembaga Pengarah SDB.
“Tuduhan-tuduhan ini adalah pembohongan semata-mata yang direka untuk mengelirukan rakyat dan merosakkan reputasi saya,” katanya dalam satu kenyataan berhubung tuduhan terhadap beliau, di sini.
Beliau menegaskan, sepanjang menerajui kerajaan, tiada NPL yang dilupuskan dan menjelaskan bahawa setiap keputusan kewangan tertakluk kepada proses dalaman bank serta penilaian kredit yang ketat.
“Sebagai Ketua Menteri, saya tidak campur tangan dalam urusan harian atau keputusan pinjaman khusus di SDB kerana institusi awam mesti dikendalikan secara profesional dan bebas daripada pengaruh politik.
“Tuduhan bahawa saya melindungi kroni atau memberi layanan istimewa kepada peminjam yang mempunyai hubungan politik adalah satu pembohongan. Saya tidak pernah campur tangan dalam kelulusan pinjaman atau urusan kewangan bank,” katanya.
Sehubungan itu, katanya dakwaan menuduh beliau melupuskan pinjaman RM178 juta kepada CASH Bhd adalah satu putar belit fakta yang disengajakan.
Hakikatnya, beliau berkata sepanjang pentadbirannya, beliau mengambil segala langkah yang perlu untuk memulihkan pinjaman bermasalah dan bukan menutupnya.
“Melupuskan pinjaman tidak berbayar secara sembarangan adalah perbuatan tidak bertanggungjawab dan mengkhianati kepercayaan rakyat.
“Mereka yang selama ini mengaut keuntungan daripada pinjaman berunsur kronisme dan memperlakukan bank awam seperti mesin wang peribadi, merekalah yang kini giat memesongkan kebenaran.
“Golongan ini tidak pernah berminat untuk melakukan pemulihan atau reformasi kerana apa yang mereka mahu hanyalah untuk menjaga kepentingan sendiri dan mengelak daripada disiasat,” katanya.
Ahli Parlimen Semporna itu berkata, jika benar berlaku penyelewengan, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang berkuasa hampir lima tahun sepatutnya mengambil tindakan.
“Kenapa tiada audit forensik pada 2021 dan kenapa tiada laporan kepada SPRM ketika itu? Kenapa hanya sekarang isu ini ditimbulkan apabila kepercayaan rakyat terhadap kerajaan semakin merosot?
“Jelas bahawa ini bukan soal keadilan tetapi satu serangan politik yang dirancang rapi kerana kerajaan hari ini sedang tenggelam.
“Saya menyeru kepada rakyat Sabah untuk melihat kebenaran di sebalik fitnah ini yang bertujuan untuk mengalih perhatian dan melepaskan diri daripada kegagalan sendiri,” katanya.
Katanya, beliau tidak takut disiasat secara bebas dan telus, namun tidak akan berdiam diri apabila pembohongan terus diulang dan dijaja demi kepentingan politik.
Beliau, katanya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang terus menyebar fitnah dan mencemarkan nama baiknya.
“Rakyat Sabah sudah muak menonton satu lagi ‘wayang kulit’ politik. Apa yang mereka mahukan adalah kebenaran dan kepimpinan jujur yang sentiasa mengutamakan keperluan rakyat,” katanya. – Info X