Search

Ahli Jawatankuasa Penasihat Dasar PM dahului penerima pingat, darjah kebesaran negeri

June 20, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ahli Jawatankuasa Penasihat Dasar Kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Fuad Md Ali mendahului senarai penerima pingat dan darjah kebesaran negeri sempena sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-74, Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, esok.

Ahmad Fuad adalah antara empat penerima darjah kebesaran tertinggi Sabah, Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima.

Tiga lagi penerima SPDK ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim dan ahli perniagaan, Datuk Lim Yu Ming.

Sementara itu, seramai 78 orang menerima darjah kebesaran kedua tertinggi Sabah, Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran datuk.

Antara penerimanya ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan dan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh.

Turut menerima PGDK ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, Myrna Jimenez; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Jannie Lasimbang; Ahli Dewan Negara, Anna Bell Perian dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman.

Penerima lain ialah Ketua Cawangan Khas Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rahman Ishak; Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Kontinjen Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek; Setiausaha Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (SPANS), Dania Daria Amit; Panglima 13 Briged Sabah, Brig Jeneral Jagjit Singh Indarsingh dan Hakim Mahkamah Tinggi Sabah, Alexander Siew How Wai.

Pengarah Taman-Taman Sabah (TTS), Dr Maklarin Lakim; Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Maria Suleiman; Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Wong Nyuk Leong @ Lifred Taliban dan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Sabah, Lahirul Latigu turut menerima PGDK.

Dalam pada itu, seramai 100 orang menerima pingat Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK), 181 orang menerima Ahli Darjah Kinabalu (ADK), 248 menerima Bintang Setia Kinabalu (BSK), 285 orang menerima Bintang Kinabalu (BK), 109 menerima Perkhidmatan Terpuji dan seramai 10 orang menerima Jaksa Pendamai.

Antara penerima Jaksa Pendamai ialah Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Datuk S Karunanithy dan Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah, Datuk Mohd Sofian Alfian Nair.

Sementara itu, seramai 17 wartawan dan pengamal media turut menerima pingat dan darjah kebesaran negeri, antaranya wartawan veteran Imin @ Emin Madi yang menerima PGDK.

Secara keseluruhan, seramai 1,015 orang menerima pingat dan darjah kebesaran Sabah sempena Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-74 Tun Musa. – Info X