KOTA KINABALU: Sebanyak 80 kontinjen menyertai acara perbarisan sempena sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-74 Tuan Yang Terutama (TYT), Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Padang Merdeka, hari ini.
Tun Musa yang diiringi isteri, Toh Puan Faridah Tussin menghadiri upacara perbarisan pertama sempena hari jadi rasmi beliau selaku Yang di-Pertua Negeri yang baharu.
Ketibaan beliau disambut Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri, Datin Seri Juliah Salag sejurus ketibaan di Padang Merdeka.
Turut menyambut ketibaan TYT ialah Timbalan Ketua Menteri selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong serta kenamaan lain.
Majlis dimulakan dengan Tun Musa memeriksa pasukan kawalan kehormatan utama diiringi 17 das tembakan meriam dari Bukit Bendera.

Selepas itu, beliau menaiki kenderaan istiadat untuk memeriksa 80 kontinjen yang berbaris di Padang Merdeka.
Upacara memotong kek turut diadakan ketika persembahan tarian khas oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Sabah.
Majlis kemudiannya ditangguhkan bagi Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri di Istana Seri Kinabalu. – Info X