SANDAKAN: Pemandu dan kelindan lori melecur selepas lori yang mereka naiki terbakar di Jalan Damai berhampiran Taman Kim Jaiyen, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, pemandu berusia 50 tahun bersama kelindannya mengalami kecederaan melecur di bahagian bahu dan tangan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.09 pagi.
Katanya, seramai sembilan anggota dan pegawai bersama tiga buah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati sebuah lori 1.5 tan yang membawa muatan 45 tong gas LPG terbakar keseluruhannya.
“Dua mangsa lelaki yang dilaporkan cedera melecur di bahagian bahu dan tangan,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurutnya, kedua-dua mangsa yang cedera itu kemudian diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan susulan.
Jimmy berkata, pasukan bomba menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian bagi memastikan tiada bahaya lain, sebelum operasi ditamatkan pada jam 12.14 tengah hari.
“Pasukan forensik bomba akan menjalankan siasatan bagi mengetahui punca kejadian,” katanya. – Info X