Search

PRN17: Japlin tidak gentar berdepan Salleh di Usukan

June 22, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ketua Bahagian Gagasan Rakyat ( PGRS) Usukan, Datuk Japlin Akim menyatakan kesediaannya untuk kembali bertanding di kerusi DUN Usukan yang pernah disandangnya sebelum ini.

Katanya, beliau tidak gentar untuk berdepan sesiapa saja jika diberi mandat untuk mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di kerusi yang kini disandang bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Jelasnya, sama ada Salleh yang sebelum ini diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan kerusi itu, atau siapa saja calon parti lawan, beliau sedia menggalas tugas diamanahkan GRS.

“InsyaAllah jika diberi peluang jadi calon untuk kawasan Usukan, (saya) bersedia. Kita sentiasa bekerja keras bersama rakyat, turun padang ke akar umbi bersama mereka.

“Sebenarnya, pada saya siapa yang kita bertembung bukan masalah dan cabaran utama. Cabaran (sebenar) bagaimana kita berusaha menyantuni rakyat di kawasan, memenangi hati mereka supaya memberi sokongan kepada kita. Soal siapa kita bertembung itu bukan masalahnya,” katanya, di sini, pada Sabtu.

Japlin berkata, DUN Usukan boleh ditingkatkan dengan memperhebat sektor pertanian yang mampu membantu menjana pendapatan penduduk setempat.

Sementara itu, mengulas sama ada GRS perlu bertanding solo pada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17), Japlin menyerahkan keputusan itu kepada pucuk pimpinan.

Bagaimanapun, beliau berpandangan, jika terpaksa, GRS cukup kuat untuk bergerak secara solo dan hanya akan mengumumkan kerjasama selepas keputusan pilihan raya.

“Saya tengok GRS dari segi penerimaan sudah diterima rakyat. Malah ahli keluarga dalam GRS ini besar ada lapan parti di dalamnya. Kita yakin dan percaya setiap parti komponen mempunyai kelebihan tersendiri selain kita boleh bergerak solo jika terpaksa,” katanya.

Japlin menyandang kerusi DUN Usukan selama tiga penggal iaitu pada 2004-2008, 2008-2013 dan 2018-2020 ketika masih bersama UMNO-BN.

Sebelum 2004, kerusi berkenaan disandang Salleh bermula dari 1994, kemudiannya menyandang semula pada 2013-2018 dan sekarang (2020-2025) mewakili UMNO-BN. – Info X