PENAMPANG: Polis sedang menyiasat video tular memaparkan seorang lelaki didakwa melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di Putatan.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, pihaknya mengesahkan menerima satu laporan mengenai dakwaan berkenaan, pada jam 8.09 malam tadi.
Katanya, laporan polis itu juga berkaitan dengan video berdurasi satu minit 34 saat yang dimuat naik di platform media sosial yang terkesan tular sejak awal pagi tadi.
“Bagaimanapun kes berkenaan masih di dalam siasatan polis dan suspek sedang giat dikesan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 14(A) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara dan sebatan jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, polis juga menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih di media sosial supaya tidak mengganggu siasatan serta melindungi hak mangsa.
“Sebarang maklumat lanjut berkaitan kes ini boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, Inspektor Kalista Demson di talian 011-33980319,” katanya.
Terdahulu, sejak pagi tadi, tular video seorang wanita marah di dalam sebuah kedai runcit di Pasir Putih, Putatan selepas seorang lelaki melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap anak perempuannya yang baru berusia 16 tahun.
Susulan video tular itu, warganet mahu pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap lelaki terbabit. – Info X