KOTA KINABALU: Pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menekankan hubungan Sabah-Kuala Lumpur perlu bersifat antara kerajaan dan bukannya intra parti, seperti yang pernah berlaku sebelum ini.
Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata hubungan intra parti berlaku ketika Sabah dikuasai parti nasional menyebabkan isu yang menjadi kepentingan negeri tidak diberi keutamaan.
Berikutan itu, katanya GRS yang menerajui kerajaan negeri sekarang mahu Sabah kekal dikuasai parti tempatan sebagai model politik negeri ini tanpa menolak kerjasama dengan parti nasional pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Katanya, menerusi hubungan antara kerajaan, sebarang agenda dan isu yang membabitkan kepentingan negeri dirunding dan diselesaikan melalui forum di antara dua peringkat kerajaan, iaitu Persekutuan dan negeri.
“Sekiranya parti yang sama, iaitu parti nasional menjadi teras kepada kedua-dua peringkat kerajaan, kecenderungan berlaku isu yang membabitkan kepentingan negeri akan dirunding dalam ruang lingkup dalam parti terlebih dahulu.
“Apabila agenda dan kepentingan negeri diputuskan secara intra-parti, sudah pasti risiko yang berlaku adalah kepentingan parti diutamakan membelakangi kepentingan negeri.
“Lebih dikhuatiri ada indoktrinasi sesetengah parti politik nasional yang meletakkan kesetiaan kepada parti mengatasi segala-galanya, tanpa kompromi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Darau, di sini, hari ini.
Armizan berkata, berdasarkan situasi sebelum ini, ada ketikanya isu negeri akan disenyapkan kerana pendirian parti nasional lebih mengutamakan kepentingan nasional.
“Contohnya, inilah yang berlaku dalam isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sejak berpuluh tahun. Kita hanya melihat ada perubahan komitmen signifikan Persekutuan berhubung MA63 di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekarang.
“Namun, kita tidak boleh bergantung kepada cara dan sikap kepemimpinan individu tetapi perlunya struktur yang kondusif,” katanya.
Beliau berkata, komitmen Persekutuan terhadap MA63 boleh berubah dengan peralihan pimpinan Kerajaan Persekutuan, namun, jika ada struktur yang menjamin hubungan persekutuan dan negeri bersifat antara kerajaan dan bukan intra parti, kepentingan negeri sentiasa mendapat keutamaan.
Katanya, pendekatan itu bukan bermakna Sabah menolak usaha memelihara kepentingan nasional, namun perjuangan mengenai perkara itu biarlah diterajui Kerajaan Persekutuan.
“Kerajaan Negeri pula perlu berfungsi dengan meletakkan kepentingan negeri pada unjuran paling teratas. Inilah falsafah di sebalik teras pertama perjuangan GRS iaitu ‘Sabah First’ yang bermaksud agenda negeri diutamakan.
“Perlu diingatkan GRS ingin menjadi teras kepada kerajaan di peringkat negeri dan pilihan raya yang bakal kita hadapi adalah untuk memilih Kerajaan Negeri. Kita akan sokong parti nasional menjadi teras kepada Kerajaan Persekutuan dan biarlah parti tempatan menjadi teras kepada kerajaan negeri.
“Kita tidak menolak, malah mengalu-alukan kerjasama dengan parti nasional pada PRN17 selagi mereka menerima parti tempatan perlu diberi ruang menjadi teras kerajaan negeri dengan bertanding lebih banyak kerusi,” katanya.
Ahli Parlimen Papar itu berkata, biarlah parti nasional hanya memimpin Kerajaan Persekutuan dengan sokongan dan kerjasama parti tempatan yang membentuk kerajaan negeri.
Sebaliknya, beliau berkata kerajaan negeri perlu diserahkan kepada parti tempatan untuk mentadbir seperti model sekarang yang menyaksikan kerjasama di antara GRS dan Pakatan Harapan (PH) Plus.
“GRS akan terus bekerjasama dengan parti nasional kerana akhirnya kita juga adalah komponen yang akan bersama membentuk Kerajaan Persekutuan dan memilih seorang Perdana Menteri dalam kalangan pemimpin parti nasional,” katanya. – Info X