Search

Doktor, jururawat cedera ringan, ambulans terbalik di bulatan

June 23, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang doktor dan jururawat cedera ringan selepas ambulans dinaiki mereka terbabas lalu terbalik di bulatan Melawa, Jalan Salut Commercial Centre, Sepanggar, awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Timbalan Penguasa Bomba I, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.55 pagi.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati sebuah ambulans milik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terbalik dan terdapat tiga mangsa iaitu doktor, jururawat dan pemandu.

“Doktor dan jururawat hanya cedera ringan manakala pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ambulans KKM terbabas dan terbalik di bulatan Melawa, Jalan Salut Commercial Centre, Sepanggar, Kota Kinabalu.

Menurutnya, pasukan bomba bertindak memberi rawatan awal kepada mangsa yang cedera dan seterusnya dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) menggunakan jentera EMRS untuk rawatan lanjut.

“Operasi ditamat sepenuhnya pada jam 2.37 pagi selepas kawasan disahkan selamat dan tiada risiko bahaya lain dikesan,” katanya. – Info X