KOTA KINABALU: Pembantu menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, pagi ini.
Ia dipercayai berkaitan kes rasuah membabitkan isu pengeluaran lesen cari gali mineral di negeri ini
Sumber memberitahu, Ahli Parlimen Kalabakan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu itu tiba di pejabat SPRM Sabah kira-kira jam 9 pagi bersama dua peguamnya selepas dipanggil untuk memberi keterangan.
Beliau turut mendedahkan Andi antara ADUN yang akan didakwa di mahkamah pada penghujung bulan ini.
Katanya, seorang lagi ialah ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob yang telah disiasat hampir empat jam oleh SPRM Sabah, Rabu lalu.
Selain itu, seorang lagi yang dijangka didakwa ialah pemberi maklumat yang dikaitkan dengan penyebaran video sebelum ini, dikenali sebagai Albert.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan seorang ADUN dan seorang ahli perniagaan telah ditahan SPRM mengikut Seksyen 16 (b) (A) Akta SPRM 2009.
Mereka dipercayai melakukan perbuatan rasuah itu antara 2023 dan 2024, dengan disyaki saling meminta dan menerima rasuah bernilai kira-kira RM200,000 bagi membantu menguruskan permohonan lesen cari gali.
Kedua-duanya bagaimanapun dibebaskan, masing-masing dengan jaminan SPRM dan dijangka didakwa pada akhir bulan ini. – Info X