Search

Kes rasuah: SPRM sahkan seorang lagi ADUN ditahan berkaitan isu lesen cari gali

June 23, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) disyaki meminta dan menerima wang rasuah berjumlah kira-kira RM150,000 membabitkan isu pengeluaran lesen cari gali di negeri ini.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 9.30 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah.

Katanya, suspek yang juga seorang Pembantu Menteri dipercayai melakukan perbuatan itu antara 2023 dan 2024.

“Siasatan mendapati suspek disyaki meminta dan menerima rasuah bernilai kira-kira RM150,000 daripada seorang individu berpangkat Datuk kononnya untuk membantu mengurus permohonan lesen cari gali di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

Katanya, suspek bagaimanapun dilepaskan selepas diambil keterangan dengan jaminan sebanyak RM50,000 tanpa deposit dan seorang penjamin.

Suspek juga katanya akan didakwa dalam masa terdekat.

Terdahulu, pagi tadi, Info X melaporkan Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan negreri, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy dipanggil SPRM di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, di sini.

Ia dipercayai berkaitan kes rasuah membabitkan isu pengeluaran lesen cari gali mineral di negeri ini.

Menurut sumber, Ahli Parlimen Kalabakan yang juga ADUN Tanjung Batu itu tiba di pejabat SPRM Sabah kira-kira jam 9 pagi bersama dua peguamnya untuk memberi keterangan.

Sumber berkenaan turut mendedahkan Andi adalah antara ADUN yang akan didakwa di mahkamah berhubung kes rasuah itu pada akhir bulan ini.

Pada Rabu lalu, ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob dilaporkan disiasat hampir empat jam oleh SPRM Sabah dan turut dijangka didakwa di mahkamah pada akhir Jun.

Selain itu, seorang lagi dijangka didakwa ialah pemberi maklumat yang dikaitkan dengan penyebaran video dakwaan rasuah sebelum ini, dikenali sebagai Albert.

Azam sebelum ini mendedahkan seramai tiga individu, masing-masing dua ADUN dan seorang individu awam bakal didakwa atas kes rasuah yang dikaitkan dengan isu pengeluaran lesen cari gali mineral di Sabah. – Info X