Search

Penunggang maut, rakan parah motosikal bertembung kereta

June 24, 2025

Info X Reporters

LAHAD DATU: Seorang lelaki maut manakala rakannya parah selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Dam, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.50 malam itu, mangsa berusia 20 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala rakannya, 19, patah kaki kanan dan dirawat di hospital.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata, siasatan awal mendapati kereta Proton Saga dipandu lelaki berusia 36 tahun dari bandar menuju ke arah Palm Height.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta dipercayai cuba memotong kenderaan lain sebelum bertembung dengan motosikal dari arah bertentangan.

“Akibat perlanggaran, mangsa dan rakannya tercampak ke bahu jalan manakala kereta terbabas namun pemandu tidak cedera,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang awam yang menyaksikan kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat trafik, Inspektor Humaidi Harun di talian 089-881255 atau hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.

“Polis turut menasihati pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati, terutama dalam cuaca hujan,” katanya. – Info X