Search

Polis nafi tahan 2 peserta Perhimpunan Aman Gempur Rasuah 2.0

June 24, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Polis nafi menahan dua peserta Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah 2.0 seperti yang didakwa aktivis NGO Borneo Komrad, Mukmin Nantang, menerusi hantaran di laman sosial Facebook (FB), hari ini.

Sebaliknya, kedua-dua mahasiswa berkenaan hanya dipanggil untuk memberi keterangan berhubung laporan polis yang dibuat mereka sendiri sebelum ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, mereka dipanggil ke balai polis untuk diambil keterangan berhubung insiden kereta milik mahasiswa yang disimbah dengan asid.

Katanya, sebaik selesai memberi keterangan, pihak polis kemudiannya sekali lagi mengambil keterangan untuk siasatan yang dibuka pihak polis berhubung penganjuran Perhimpunan Aman Gempur Rasuah 2.0.

“Pihak polis menafikan kenyataan yang dikeluarkan salah seorang peserta perhimpunan yang mendakwa dua rakannya ditangkap dan dipukul polis.

“Yang kata dia kena pukul. Tidak ada pun, kita beritahu jangan buat live, rakam dan ambil gambar. Itu yang kita larang. Jadi tak ada istilah dia dipukul ke apa macam yang didakwa rakan mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, istilah penahanan itu adalah selepas penuntut pusat pengajian tinggi itu diminta memberi keterangan berhubung perhimpunan aman gempur rasuah berkenaan.

“Kita minta dia beri keterangan disebabkan namanya yang tercatat sebagai pengerusi perhimpunan berkenaan bagi membantu siasatan,” katanya.

Dalam hantaran FB itu, Mukmin mendakwa Presiden Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) Fadhil Kasim dan Aliff Danial Badrul Akmal Hisham ditahan ketika datang ke Balai Polis Kota Kinabalu untuk siasatan forensik.

Ia susulan laporan polis mereka berikutan sebuah kereta mahasiswa yang disimbah cecair asid ketika himpunan Gempur Rasuah Sabah.

Melalui hantaran itu juga, Mukmin mendakwa, Fadhil memaklumkan berlaku kekerasan terhadapnya termasuk memukul dan menengking. – Info X