Search

PRN17: Belum ada rundingan kerusi, kata Ahmad Zahid

June 24, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata BN belum sampai ke peringkat rundingan kerusi dengan parti yang bakal bekerjasama pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, tumpuan kini masih di peringkat perbincangan bagi membentuk kerjasama politik dengan parti yang sehaluan dengan perjuangan BN.

“Kita belum ke peringkat perbincangan pembahagian kerusi ataupun mengelakkan pertindahan kerusi tetapi yang terbaik ialah kita mempunyai sikap terbuka dan tentunya kita mencari lebih ramai rakan berbanding mencari musuh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Program Pemerkasaan Wanita Sabah, Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Selasa.

Hadir sama Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua UMNO Sabah yang juga Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Zahid yang juga Presiden UMNO juga belum mahu mendedahkan jumlah kerusi yang diingini UMNO BN untuk ditandingi pada PRN17 nanti.

Beliau bagaimanapun menekankan mahu memastikan semua kerusi yang ditandinginya dapat dimenangi.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata UMNO BN sentiasa mengadakan pertemuan dengan semua pihak bagi membincangkan kerjasama politik, termasuk dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Ini kerana tidak ada pintu yang harus dibuka seluas-luasnya dan tidak ada pintu yang ditutup serapat-rapatnya.

“Ertinya ruangan perundingan itu sering dilakukan dan kita mengharapkan yang positif. Tapi tentunya perincian itu tidak dapat dilakukan sekarang kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) belum dibubarkan.

“Apabila tiba masanya nanti, kita akan (berharap) dapat tamatkan segala pertemuan dan perundingan yang kita lakukan,” katanya.

Namun, yang pasti katanya BN akan menggunakan lambang dacing pada PRN17, tanpa menolak kolaborasi dengan gabungan parti lain. – Info X