Search

Polis sahkan 3 peserta perhimpunan ditahan

June 24, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Polis mengesahkan penahanan tiga peserta Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah 2.0 selepas keterangan mereka diambil, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, ketiga-tiga mereka ditahan mengikut akta hasutan dan pembakaran karikatur Perdana Menteri.

“Selepas selesai memberi keterangan berhubung perbuatan kianat ke atas kenderaan milik mahasiswa dan penganjuran Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah 2.0, ketiga-tiga mereka ditahan.

“Ketiga-tiga mereka ditahan mengikut akta hasutan dan pembakaran karikatur Perdana Menteri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pagi tadi, dua individu dipercayai mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan seorang lepasan UMS dipanggil ke balai polis untuk diambil keterangan berhubung insiden perbuatan khianat pada kereta milik mahasiswa.

Bagaimanapun, sebaik selesai memberi keterangan, pihak polis kemudiannya sekali lagi mengambil keterangan untuk siasatan yang dibuka pihak polis berhubung penganjuran Perhimpunan Aman Gempur Rasuah 2.0. – Info X