KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bekerjasama rapat dengan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan kerajaan negeri bagi menyelesaikan masalah bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata beliau sendiri mengangkat isu itu kepada pihak yang berkaitan demi kebajikan pelajar di universiti itu.
“Saya maklum akan kesukaran yang dihadapi dan saya ingin tegaskan bahawa pihak kementerian sedang bekerjasama rapat dengan pihak JANS serta Kerajaan Negeri Sabah bagi mencari penyelesaian.
“Isu ini telah saya angkat sendiri kepada pihak berkaitan agar kebajikan mahasiswa diutamakan,” katanya menerusi perkongsian di Facebook beliau.

Semalam, Zambry mengadakan Program In Person With DocZam di UMS bagi mendekati pelajar dan mendalami isu yang berlaku universiti itu, termasuk berkaitan masalah air.
Turut serta dalam program itu ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UMS, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor dan barisan pengurusan UMS.
“Semuanya sedang berusaha mencari solusi terbaik untuk isu air ini,” kata Zambry.
Sementara itu, lebih 1,000 mahasiswa dan pemimpin pelajar dari pelbagai institusi di seluruh Sabah seperti UMS, UiTM, MSU, IPG dan Politeknik menyertai program itu ini yang diadakan bersempena dengan Seminar Kenegaraan Malaysia MADANI anjuran bersama Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM). – Info X