Search

Syed Saddiq bebas semua sabitan, hukuman

June 25, 2025

Info X Reporters

PUTRAJAYA: Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, hari ini dibebaskan daripada semua sabitan dan hukuman atas empat pertuduhan terhadapnya sebelum ini.

Ia membabitkan pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah, salah guna harta dan pengubahan wang haram dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Keputusan membebaskan Syed Saddiq dibuat panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang bersidang hari ini, dipengerusikan Ahmad Zaidi Ibrahim, bersama Hakim Azman Abdullah dan Noorin Badaruddin.

Ahli Parlimen Muar itu memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November 2023 yang mensabitkannya dengan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta.

Dalam penghakiman yang dibacakan Noorin, Mahkamah Rayuan mendapati pertuduhan bersubahat pecah amanah dihadapi Syed Saddiq adalah tidak berasas.

Pendakwaan juga, katanya didapati gagal membuktikan niat tidak jujur Syed Saddiq ketika memberikan arahan supaya wang RM1 juta dikeluarkan dari dana Armada.

Noorin berkata, Hakim Mahkamah Tinggi gagal menilai keseluruhan keterangan yang dikemukakan sekali gus membawa kepada kekhilafan ketika mencapai keputusan mensabit serta menghukum Syed Saddiq dan ia memerlukan campur tangan mahkamah.

Katanya, pihak pendakwaan gagal menunjukkan bukti yang diyakini bagi menyokong pertuduhan menyalahguna wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Bhd milik Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE).

Berikutan itu, Noorin berkata, tiada bukti bahawa Syed Saddiq menyalahgunakan wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Bhd ABBE.

Panel hakim turut mendapati, disebabkan mahkamah tidak boleh bergantung kepada pertuduhan salah guna wang RM120,000, maka pertuduhan pengubahan wang haram juga tidak dapat dipertahankan.

Sebelum ini, Syed Saddiq memfailkan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan.

Beliau didakwa bersubahat dengan bekas Penolong Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali, dalam kes pecah amanah membabitkan RM1 juta dana Pemuda Bersatu.

Kesalahan itu didakwa berlaku di CIMB Bank, KL Sentral pada 6 Mac 2020, mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan.

Syed Saddiq juga didakwa menyalah guna wang RM120,000 daripada akaun Armada Bumi Bersatu Enterprise bagi kepentingan diri, antara 8 hingga 21 April 2018, di sebuah bank di Taman Pandan Jaya, Kuala Lumpur mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Selain itu, Syed Saddiq menghadapi dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan pemindahan RM100,000 ke akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya, pada 16 dan 19 Jun 2018 di Johor Bahru mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001. – Info X