KOTA KINABALU: Bangunan Wisma Budaya, di sini, bakal dirobohkan untuk digantikan dengan sebuah bangunan baharu setinggi 22 tingkat di tapak yang sama.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Christina Liew, berkata bangunan yang akan dimulakan pembinaannya tidak lama lagi itu bakal menjadi mercu tanda baharu sektor pelancongan dan kebudayaan Sabah.
“Kita akan merobohkan Wisma Budaya yang lama bagi memberi laluan kepada pembinaan bangunan moden, dilengkapi dengan teknologi maklumat (IT) dan kemudahan audio visual (AV), antara lainnya.
“Jika semuanya berjalan lancar mengikut perancangan, projek itu boleh siap, harap-harap dalam masa dua tahun.
“Setelah siap nanti, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) boleh berbangga memiliki rumah sendiri.
“KePKAS akan berpindah ke premis baharu itu yang turut menempatkan semua agensi di bawah kementerian ini,” katanya sambil mencadang bangunan itu bakal dinamakan Wisma Pelancongan dan Kebudayaan.
Beliau mengumumkan perkara itu selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kewangan di antara KePKAS, Lembaga Amanah Taman-Taman Sabah, Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dan Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) di Bilik Persidangan KePKAS, pada Rabu.

Perjanjian itu ditandatangani Setiausaha Tetap KePKAS, Datuk Josie Lai; Pengarah Lembaga Amanah Taman-Taman Sabah, Datuk Dr Maklarin Lakim; Ketua Pegawai Eksekutif STB, Julinus Jeffery Jimit dan Pengurus Besar LKNS, Mackey Apison.
Hadir sama pada majlis itu ialah Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai; Pengerusi Lembaga Amanah Taman-Taman Sabah, Datuk Peter Lintar; Pengerusi LKNS, Dikin Musah dan Timbalan Setiausaha Tetap 1 KePKAS, Mary Malangking. – Info X