Search

Tiga rumah musnah terbakar, warga emas cedera

June 26, 2025

Info X Reporters

TUARAN: Seorang lelaki warga emas mengalami kecederaan dalam kebakaran membabitkan tiga rumah di Kampung Tagas, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa berusia 61 tahun yang cedera di tangan kiri terus diberikan rawatan oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Norkizan Durudin @ Nurudin berkata, oihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 4.56 petang.

Katanya, sepasukan 10 anggota dan pegawai bersama jentera serta pasukan EMRS terus dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu.

“Kebakaran membabitkan tiga rumah termasuk dua jenis kekal berkeluasan 84 meter persegi yang musnah sepenuhnya.

“Terdapat seorang mangsa mengalami kecederaan di bahagian tangan kiri dan diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pasukan bomba memadam kebakaran rumah di Kampung Tagas, Tuaran.

Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 60 meter dengan dua pancutan dari sumber air jentera.

“Operasi terkawal pada jam 5.35 petang dan ditamatkan pada jam 6.35 petang.

“Punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya. – Info X