KOTA KINABALU: Rundingan 13 kerusi yang disasar PKR Sabah untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) belum selesai.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud, berkata kerusi berkenaan masih dirunding dengan rakan parti dalam Pakatan Harapan (PH), selain dengan Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata, rundingan dengan BN dan rakan komponen PH sendiri penting bagi memastikan tiada pertindihan kerusi sesama mereka pada PRN17 nanti.
“Kita sudah adakan beberapa mesyuarat dengan BN dan kita sedang runding bagi memastikan kerusi kita tidak bertindih.
“Kita juga cuba buat persefahaman dasar yang perlu kita lakukan untuk kebaikan di Sabah. Bagi PKR, sebanyak 13 kerusi disasar atau lebih dan memang ada bertindih dengan BN, tapi tidak banyak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Pertama MPN Sabah sesi 2025-2028, di sini, pada Ahad.
Ahli Parlimen Sepanggar itu berkata, bagi rundingan dengan parti komponen PH, ada kira-kira lima peratus lagi daripada 13 kerusi yang disasar PKR belum selesai dirunding.
Selain dengan BN, beliau berkata PH Sabah juga akan memulakan perbincangan kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak lama lagi.
“Kita juga akan mulakan rundingan dengan GRS, niat kita ialah untuk kurangkan pertindihan kerusi dan pertembungan antara parti yang jadi tunjang Kerajaan Madani ini.
“Bagi kami (PKR) paling utama ialah kestabilan politik negeri ini. Jadi, kita harap semua pihak dapat berunding dengan baik, di mana (kerusi) kita kuat, di situ kita akan runding,” katanya. – Info X