Search

Pegawai Khas Ketua Menteri buat laporan polis terhadap Albert Tei

July 2, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Satu laporan polis difailkan terhadap ahli perniagaan, Datuk Tei Jiann Chieng berikutan kenyataannya yang menyentuh kewibawaan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dalam isu rasuah dikaitkan dengan pengeluaran lesen cari gali mineral.

Laporan polis itu dibuat Pegawai Khas Ketua Menteri, Datuk Mazlan @ Joehari Manan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, pada petang Selasa.

Menerusi satu kenyataan selepas itu, Mazlan berkata pihaknya terpanggil membuat laporan polis kerana menyifatkan kenyataan Jiann Chieng ketika sidang media di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu pada Isnin sebagai fitnah dan hasutan jahat terhadap Ketua Menteri.

“Laporan polis dibuat berkaitan kenyataan Albert yang mempunyai unsur jahat, palsu dan penghinaan terhadap Ketua Menteri Sabah, badan penguatkuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Beliau berkata, disebabkan Jiann Chieng yang turut dikenali sebagai Albert Tei sudah dituduh di Mahkamah Khas Rasuah bersama dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), dia tidak sepatutnya mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Albert tidak seharusnya membuat kenyataan melalui sidang media yang memberi persepsi negatif berbentuk fitnah dan palsu dengan memburukkan pihak-pihak lain, termasuk Ketua Menteri Sabah, SPRM dan Jabatan Peguam Negara secara langsung dan tidak langsung.

“Albert juga telah melakukan tindakan menghina Mahkamah (subjudice). Laporan ini dilakukan agar pihak polis dapat melaksanakan penguatkuasaan undang-undang yang sepatutnya terhadap Albert,” katanya.

Pada sidang media Isnin lalu, Albert antara lain menyebut mengenai ‘jerung’ atau orang besar yang tidak didakwa SPRM selepas hanya dua ADUN dituduh di mahkamah, selain bertanya kedudukan tujuh lagi ADUN, terutama Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Albert turut mengingatkan baki ADUN yang belum didakwa, termasuk Ketua Menteri supaya tidak terlalu gembira apabila beliau dituduh di mahkamah dengan harapan beliau menutup mulut dan melemahkan kedudukannya.

Selain itu, Albert turut meminta rakyat Malaysia menjadi saksi dan mencari 10 orang (ADUN, Speaker DUN dan Ketua Menteri) yang didedahkannya dalam kes pengeluaran lesen cari gali jika dia mengalami musibah seperti dibunuh, diculik atau tiba-tiba hilang.

Dalam laporan polisnya, Mazlan berkata, kenyataan Albert itu menggambarkan seolah-olah Ketua Menteri melakukan kesalahan di sisi undang-undang dan sepatutnya dituduh di mahkamah, campur tangan dalam proses pendakwaan Jabatan Peguam Negara dan proses mahkamah serta siasatan SPRM.

Katanya, kenyataan itu turut menggambarkan Ketua Menteri Sabah terbabit dalam rancangan untuk membunuh dan menculik Albert.

Beliau berkata, dakwaan itu adalah satu tuduhan jenayah yang amat berat dan bersifat hasutan terhadap Ketua Menteri.

Kenyataan Albert juga katanya, mempunyai unsur jahat, palsu dan penghinaan terhadap Ketua Menteri, badan penguatkuasa SPRM dan Jabatan Peguam Negara, selain memberi gambaran bahawa wujud siasatan dan pendakwaan yang selektif.

Mazlan berkata, disebabkan itu, beliau membuat laporan polis agar tindakan diambil terhadap Albert kerana mempunyai sebab yang munasabah untuk mempercayai bahawa Albert telah melakukan kesalahan fitnah jenayah (criminal defamation) (Seksyen 500 Kanun Keseksaan) terhadap Ketua Menteri Sabah.

Selain itu, katanya Albert juga melakukan hasutan terhadap Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat (Seksyen 4 Akta Hasutan) dan menyalahgunakan sistem telekomunikasi dengan membuat kenyaatan palsu dan jelek (Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia), selain penghinaan terhadap proses dan sistem perundangan mahkamah. – Info X