Search

Kemalangan tiga maut: Isuzu D Max disyaki hilang kawalan sebelum bertembung

July 2, 2025

Info X Reporters

LAHAD DATU: Kemalangan maut yang mengorbankan tiga lelaki di Kilometer 26, Jalan Lahad Datu – Sandakan, di sini malam tadi dipercayai daripada kenderaan pacuan empat roda yang hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan.

Dalam kejadian jam 9.45 malam itu, kenderaan jenis Isuzu D Max yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun bersama dua penumpang lelaki masing-masing berusia 28 dan 29 tahun bertembung dengan sebuah lori tangki dari arah bertentangan sebelum kedua-dua kenderaan terbabas ke dalam gaung.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika treler yang dipandu seorang lelaki berusia 61 tahun dari arah Sandakan menuju ke Lahad Datu.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian kenderaan Isuzu D Max yang datang dari arah bertentangan, dipandu lelaki warga tempatan bersama dua penumpang disyaki hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan treler.

“Impak pelanggaran menyebabkan kedua-dua kenderaan tercampak ke gaung di kiri jalan dari arah Lahad Datu ke Sandakan sebelum Isuzu D Max itu merempuh sebatang pokok kelapa sawit.

“Akibat daripada kemalangan itu juga, pemandu dan dua penumpang tersepit dalam kenderaan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa hanya berjaya dikeluarkan kira-kira jam 12.10 tengah malam dan dihantar ke Hospital Lahad Datu menggunakan lori polis.

“Pemandu treler bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan. Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Mana-mana individu melihat kejadian itu boleh terus menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Mohamad Humaidi Harun di talian 089-881255 atau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata semua pengguna jalan raya supaya memandu dengan berhati-hati dan berhemah terutama dalam keadaan hujan dan permukaan jalan yang licin agar tidak mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.

Terdahulu, kemalangan ngeri itu menyebabkan ketiga-tiga mangsa tersepit dalam kenderaan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

Identiti mangsa yang maut dikenal pasti sebagai pemandu Isuzu D Max itu, Mohd Azizi, 28; Muhammad Zulkhairi Ismail, 29, (penumpang belakang) dan Mohd Rasman Ahmat Kechil, 28, (penumpang hadapan). – Info X