KOTA KINABALU: Kerajaan negeri berpendirian royalti bukan satu-satunya cara untuk mendapatkan wang dari hasil minyak dan gas yang diteroka di negeri ini.
Sebaliknya, Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata pembangunan industri minyak dan gas dilihat mampu memberi lebih banyak manfaat kepada rakyat dan negeri.
Beliau berkata, walaupun tetap menuntut bayaran royalti yang sewajarnya, kerajaan negeri turut melihat kaedah lain untuk menambah hasil.
“Kita tidak mengatakan bahawa kita tidak menuntut kadar royalti yang tinggi. Apa yang kita katakan ialah royalti bukan satu-satunya cara mendapatkan lebih banyak wang minyak.
“Kita patut melihat kaedah lain. Kaedah lain yang saya maksudkan ialah dengan mengukuhkan industri minyak dan gas.
“Apa yang saya katakan ialah jika ia hanya royalti, wang itu hanya pergi kepada kerajaan.
“Tapi, jika ia berkaitan mewujudkan industri yang rancak di Sabah, banyak syarikat tempatan mendapat manfaat dan mereka boleh mencipta peluang kerja,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui pada majlis makan malam SMJ Energy Sdn Bhd, di sini, malam tadi.
Masidi yang juga Pengerusi SMJ Energy berkata, jika hanya royalti yang diterima, ia tidak dapat mewujudkan pekerjaan kerana wang berkenaan akan dimasukkan dalam dana wang disatukan kerajaan negeri.
Sebaliknya, beliau berkata jika merancakkan industri minyak dan gas di Sabah, wang hasil daripada industri itu dapat dinikmati terus oleh rakyat.
“Jadi, pada pendapat saya itu seharusnya dijadikan pertimbangan sebagai alternatif bagi memastikan kita dapat lebih banyak hasil daripada kekayaan minyak kita, berbanding hanya satu sumber iaitu royalti,” katanya.
Beliau berkata, ketika ini ada 471 syarikat tempatan dalam sektor minyak dan gas di Sabah, namun 70 peratus daripadanya dilaporkan tidak aktif sebelum ini.
Bagaimanapun, katanya jumlah syarikat yang kembali aktif semakin meningkat selepas kewujudan SMJ Energy.
“Sekarang, dengan SMJ Energy membantu kemasukan mereka dalam pasaran, jumlah syarikat yang aktif semakin berkembang.
“Jumlah syarikat yang aktif mengejar peluang perniagaan semakin berkembang,” katanya.
Sementara itu, katanya eksplorasi minyak dan gas kini turut dilaksanakan di perairan pantai timur Sabah oleh sebuah syarikat antarabangsa yang mana keputusannya dijangka diketahui tidak lama lagi.
Katanya, jika berhasil ia dijangka membawa perubahan ke arah meningkatkan aktiviti ekonomi di kawasan pantai timur negeri ini. – Info X