Search

Ellron nafi terima suapan setengah juta

July 3, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Menteri Belia dan Sukan negeri, Datuk Ellron Angin menafikan menerima suapan atau terbabit dalam transaksi bernilai RM530,000 yang dikaitkan dengan skandal perlombongan.

Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) itu menyifatkan tuduhan yang dilaporkan portal Malaysiakini pada 28 Jun lalu itu sebagai fitnah.

“Saya merujuk kepada laporan Malaysiakini bertarikh 28 Jun 2025 bertajuk ‘Lagi Kejutan Sabah: Skandal Pelombongan Selubungi STAR, Pemimpin Tertinggi PBS.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa saya menerima suapan atau terlibat dalam transaksi bernilai RM530,000.

“Tuduhan ini adalah fitnah yang tidak berasas dan bermotifkan politik tidak matang serta mencemarkan nama baik dan integriti saya sebagai wakil rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook itu berkata beliau sentiasa berpegang kepada prinsip integriti, akauntabiliti dan tadbir urus bersih sejajar komitmen kerajaan negeri dalam membanteras rasuah.

Berikutan itu, katanya beliau mengarahkan pasukan undang-undangnya untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan tuduhan terbabit.

“Saya tidak akan berdiam diri. Kebenaran mesti ditegakkan,” katanya.

Ellron adalah antara tiga pemimpin tertinggi STAR yang disebut dalam laporan Malaysiakini, didakwa terbabit dalam skandal perlombongan, bersama tiga lagi pemimpin Parti Bersatu Sabah (PBS).

Dua lagi pemimpin STAR yang disebut ialah presidennya yang juga Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang juga ADUN Tambunan dan Pembantu Menteri Kerja Raya negeri, Datuk Robert Tawik yang juga ADUN Bingkor.

Jeffrey dan Robert turut menafikan pembabitan masing-masing dalam dakwaan terbabit selain menyifatkannya sebagai bermotifkan politik. – Info X