Search

Kontrak untuk syarikat OGSE Sabah ditingkatkan lagi tahun ini

July 3, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri dengan kerjasama PETRONAS dan rakan industri menetapkan sasaran peningkatan 100 peratus kontrak dalam sektor perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) untuk syarikat tempatan Sabah pada tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kerajaan negeri turut menetapkan sasaran 100 peratus pengambilan pekerja tempatan rakyat Sabah bukan teknikal dan 80 peratus bagi jawatan teknikal sektor OGSE.

“Sasaran ini mencerminkan komitmen teguh kita untuk memperkukuh penyertaan tempatan dan membina ekosistem tenaga yang berdaya tahan serta berasaskan bakat tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Persidangan dan Pameran Minyak, Gas dan Tenaga Sabah (SOGCE) ke-12 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Khamis.

Ucapan Ketua Menteri disampaikan Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan negeri, Datuk Phoong Jin Zhe.

Ketua Menteri berkata, pada 2021, jumlah kontrak yang diberikan kepada syarikat dari Sabah bagi kerja perkhidmatan minyak dan gas tempatan berjumlah RM341 juta.

Menjelang akhir tahun lalu, katanya jumlah itu melonjak kepada lebih RM2 bilion bagi kerja-kerja yang dianugerahkan di dalam dan luar Sabah.

Beliau berkata, industri minyak dan gas Sabah menjadi tunjang penting dalam pertumbuhan ekonomi negeri dan terus memainkan peranan utama, menyumbang hampir 40 peratus pengeluaran minyak dan kira-kira 20 peratus hasil gas negara.

“Namun, kita percaya peranan kita perlu melangkaui sekadar pengeluaran. Kita berhasrat untuk menjadikan Sabah sebagai pusat kecemerlangan bagi inovasi OGSE dan amalan tenaga mampan serta sebagai hab di mana pelaburan, bakat dan teknologi
bertemu untuk mencipta nilai jangka panjang,” katanya.

Sehubungan itu, Ketua Menteri berkata Kerajaan Negeri melalui SMJ Energy mengambil langkah tegas untuk mendapatkan ekuiti dalam aset huluan dan hiliran utama, termasuk PSC Samarang dan loji petrokimia SAMUR serta kepentingan dalam blok cari gali SB403, SB409, SB306A dan SB306B.

Beliau berkata Sabah Energy Corporation juga mengukuhkan kedudukannya sebagai pembekal dan pengangkut gas asli domestik terbesar di Malaysia, susulan pengambilalihan kontrak gas darat PETRONAS di Sabah.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada PETRONAS dan semua rakan pengendali di Sabah atas usaha berterusan, komitmen dan pelaburan dalam pembangunan kandungan tempatan.

“Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang ditandatangani pada Disember 2021 bersama PETRONAS adalah signifikan dan pelaksanaannya menerusi inisiatif seperti Jawatankuasa Kecil bagi industri OGSE yang dipengerusikan bersama Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah serta PETRONAS menunjukkan hasil yang nyata.

“Bagi mengekalkan momentum ini, kita telah menubuhkan Majlis Kandungan Tempatan Sabah di bawah pemantauan SMJ Energy dan melaksanakan Pasukan Petugas Bersama untuk Perkongsian Wajib.

“Inisiatif-inisiatif ini, bersama dengan pandangan telus yang diberikan oleh Kinabalu Activity Outlook (KAO), direka untuk memastikan syarikat tempatan kita mendapat maklumat, bersedia dan mempunyai rakan kongsi yang sesuai untuk mencapai kejayaan,” katanya.

Hajiji turut memuji usaha Majlis Perkhidmatan Minyak dan Gas Sabah (SOGSC) dan Persatuan Kontraktor Petroleum Bumiputera Sabah (PKPBS) mempromosikan penyertaan Sabah dalam sektor OGSE.

Beliau turut menyeru semua pihak untuk menyokong rancangan SOGSC dan PKPBS menganjurkan persidangan OGSE pada tahun depan.

“Visi kita adalah untuk membina rangkaian peluang OGSE yang melangkaui kontrak jangka pendek. Kita ingin menggalakkan pemindahan ilmu, pertukaran teknologi dan usahasama yang mampu melonjakkan pemain tempatan ke tahap serantau.

“Kita sedang meletakkan asas bukan saja untuk kemakmuran semasa tetapi juga untuk ekosistem OGSE yang berdaya tahan, inovatif dan mampan untuk generasi akan datang.

“Justeru, marilah kita bekerjasama memastikan Sabah bukan sahaja kekal sebagai pemain utama dalam sektor tenaga tetapi menjadi model kepada pertumbuhan yang mampan dan inklusif dalam industri minyak, gas dan tenaga,” katanya. – Info X