TAWAU: Tindakan seorang lelaki yang mengamuk dan mengacukan parang ke arah bapa kandungnya membawa padah apabila dia ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di daerah ini, baru-baru ini.
Kejadian itu turut disaksikan oleh abang suspek yang cuba menenangkan keadaan namun gagal apabila dia bertindak agresif semula dengan merosakkan beberapa harta benda.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, sebelum itu, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada mangsa.
Katanya, kejadian disedari oleh abang kandung suspek yang mendapati adiknya itu mengamuk sambil mengacukan parang sepanjang kira-kira 65.8 sentimeter ke arah bapa mereka.
“Walaupun suspek dilihat tenang selepas dileraikan oleh abangnya, dia kemudian bertindak agresif semula dengan merosakkan beberapa harta benda di rumah abangnya.
“Susulan kejadian itu, mangsa tampil membuat laporan polis atas faktor keselamatan diri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, bertindak atas laporan itu, sepasukan anggota dari Balai Polis Sri Indah telah menyerbu lokasi kejadian sebelum berjaya memberkas suspek.
“Suspek dibawa ke Balai Polis Sri Indah sebelum diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut dan kini sedang ditahan reman bagi membantu siasatan.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya. – Info X