KOTA KINABALU: Seramai 124 penghuni Rumah Pangsa Tanjung Aru menolak tawaran rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) selepas mereka diminta mengosongkan kediaman berikutan faktor keselamatan.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim, berkata mereka memberi alasan lokasi rumah PPR yang ditawarkan jauh dari tempat kerja, sekolah anak atau hospital.
Katanya, mereka yang menolak tawaran berpindah ke PPR dan yang tidak layak diberi rumah PPR diminta berusaha mencari rumah alternatif sendiri.
“Pihak kementerian melalui agensi pelaksana Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) menawarkan rumah PPR kepada kesemua 237 penyewa yang layak daripada 315 penyewa asal.
“Seramai 58 penyewa asal tidak ditawarkan rumah PPR kerana tidak layak disebabkan tidak memenuhi syarat Dasar Peruntukan Rumah Kos Rendah disewakan, manakala 20 penyewa lagi memiliki rumah di atas nama sendiri.
“Seramai 124 orang pula menolak tawaran rumah PPR atas sebab lokasi rumah jauh dari tempat kerja, sekolah anak atau hospital,” katanya.
Beliau menjawab soalan Datuk Junz Wong (Warisan-Tanjung Aru) mengenai isu penghuni Rumah Pangsa Tanjung Aru pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Dr Joachim berkata seramai 113 penyewa daripada 237 yang ditawarkan rumah sudah menerima tawaran dan diberi rumah PPR iaitu 23 di Taman Jaya Diri, diikuti Taman Bukit Setia (30), Taman Puri Warisan (25), Taman Sri Anak (lima), PPR Kibabaig Penampang (23), PPT Gayang 2 Tuaran (dua), Taman Keramat Putatan (dua) dan Taman Serigai Putatan (tiga).
Sementara itu, katanya setakat 3 Julai 2025, seramai 55 penghuni belum berpindah keluar dari rumah pangsa terbabit, masing-masing 30 yang sudah menerima rumah PPR, seramai 18 yang menolak tawaran rumah PPR dan tujuh yang tidak layak ditawarkan rumah PPR.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri itu, berkata, pihak kementerian dan LPPB sedia berbincang dengan penduduk terbabit untuk membantu menyelesaikan masalah. – Info X