KOTA KINABALU: Parti Warisan menyifatkan kenyataan Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun mengenai kedudukan syarikat minyak dan gas negeri yang belum bersedia menyertai bidaan eksplorasi minyak mendedahkan bagaimana sumber Sabah diurus selama ini.
Ketua Penerangannya, Datuk Mohd Azis Jamman, mendakwa selama ini kerajaan hanya mengagihkan konsesi kepada kroni dan sub kontraktor serta membiarkan pihak lain membuat kerja, manakala kerajaan hanya mengutip ‘percent’.
Katanya, jika kekurangan kepakaran dijadikan alasan, ia sepatutnya diatasi dengan melatih dan melantik pakar dalam bidang berkenaan.
“Jika kita mendakwa kurang kepakaran, kenapa tidak melatih dan melantik pakar yang betul? Cari dan ambil profesional yang berkelayakan, bukan ahli politik setia yang hanya mahir ‘samun dan jilat’.
“Dan jika Sabah tiada pengalaman, bagaimana kita boleh menimba pengalaman jika kita tidak memulakannya?
“Kita boleh bawa bakat dari luar Sabah jika diperlukan, tawarkan terma yang menarik dan pastikan profesional rakyat Sabah belajar dengan mereka supaya boleh mengetuai kemudian.
“Setiap juta sentiasa bermula dengan nombor satu. Menunggu selamanya menjadikan Sabah kekal di pinggir kekayaannya sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mengulas jawapan Masidi ketika menjawab pertanyaan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengenai eksplorasi minyak dan gas di perairan Sandakan yang diberikan PETRONAS kepada syarikat dari Semenanjung ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Selasa.
Mengenai modal, Azis mengingatkan Masidi bahawa jika kerajaan boleh mengeluarkan sukuk RM1 bilion untuk menyelesaikan hutang legasi, termasuk kapal tidak diketahui di mana yang dibeli ratusan juta ringgit, perkara yang sama boleh dilakukan untuk menjana modal SMJ Energy.
“Jadi, jangan beritahu kita mustahil untuk menjana dana SMJ Energy bagi menyertai aktiviti hiliran dan huluan di perairan Sabah yang kaya dengan sumber alamnya.
“Lebih dari itu, kerjasama pintar dengan pelabur berwibawa juga boleh dilaksanakan, tapi Sabah mesti mengawal pengurusan dan sumber semula jadi kita,” katanya.
Beliau juga bertanya, apabila PETRONAS melantik kontraktor untuk kerja huluan dan hiliran, berapa banyak pengalaman yang syarikat itu ada pada permulaannya.
“Jika syarikat itu ‘bersedia’, kenapa Sabah tidak atau SMJ Energy juga bersedia?
“Adalah sesuatu yang ironik mendengar mengenai ‘kerja diam-diam tapi hasil ada’ sedangkan realitinya kekayaan minyak meninggalkan pantai kita dan apa yang rakyat kita nampak sangat kecil,” katanya.
Azis menegaskan, isu sebenarnya bukan sama ada Sabah bersedia atau tidak, sebaliknya soalan realitinya ialah adakah pemimpin bersedia mengutamakan kepentingan Sabah lebih daripada keselesaan politik dan memberikan sub kontrak kepada kroni.
“Pemimpin sebenar tidak menunggu keadaan yang sesuai. Pemimpin sebenar bermakna bermula sekarang, membina kepakaran, mengawal sumber kita dan memastikan Sabah akhirnya mendapat manfaat langsung daripada kekayaan di bawah tanah dan laut kita,” katanya. – Info X