Search

SPRM tahan juruukur bahan PBT, disyaki terima rasuah lebih RM200,000

July 9, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang juruukur bahan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini ditahan selepas disyaki menerima wang suapan lebih RM200,000 daripada kontraktor dan pembekal sebagai balasan membantu mendapatkan projek-projek kerajaan.

Suspek lelaki berusia 30-an itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah ketika hadir memberi keterangan di pejabat agensi itu kira-kira jam 7 malam tadi.

Perintah reman selama empat hari terhadap suspek dikeluarkan Majistret Wan Farrah Farizza Wan Ghazali sehingga 13 Julai ini selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, pagi tadi.

Sumber berkata, suspek disyaki telah menerima wang rasuah lebih RM200,000 daripada beberapa kontraktor dan syarikat pembekal melalui pelbagai transaksi sebagai habuan membantu mendapatkan projek di PBT berkenaan.

Suspek juruukur yang berkhidmat di sebuah PBT di Sabah ditahan selepas disyaki terbabit rasuah.

“Antaranya membabitkan pembasmian kemiskinan, pembinaan baharu rumah mesra Sabah, pembersihan pusat-pusat pembuangan sampah dan pembekalan alat-alat ganti kerajaan.

“Transaksi dipercayai berlaku antara 2021 hingga 2024 membabitkan jumlah keseluruhan melebihi RM200,000,” katanya sumber itu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – Info X