Search

Lelaki tunjuk kemaluan ditahan

July 9, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Polis menahan seorang lelaki selepas dipercayai menunjukkan kemaluannya kepada seorang pelajar perempuan dalam kejadian di daerah ini, pada Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 12.45 tengah hari, mangsa berusia 15 tahun dalam perjalanan pulang dari sekolah menuju ke rumahnya sebelum dihampiri suspek yang memandu kenderaan pacuan empat roda.

Suspek yang pada awalnya bertanyakan arah tuju kepada mangsa telah bertindak tidak senonoh sambil menunjukkan kemaluannya.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, mangsa yang terkejut kemudiannya melarikan diri ke kawasan rumah yang berhampiran.

“Bimbang akan keselamatannya, mangsa kemudiannya tampil di balai polis berdekatan untuk membuat laporan polis.

“Susulan laporan itu, sepasukan polis dari Balai Polis Bombalai dikerahkan untuk mengesan dan menahan suspek terbabit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan suspek berusia 30 tahun berjaya ditahan semalam, di sebuah rumah di kawasan Merotai, di sini.

“Pemeriksaan tubuh badan suspek tidak menemui apa-apa barang salah. Suspek bersama barang rampasan iaitu sebuah kenderaan pacuan empat roda dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792),” katanya. – Info X