PENAMPANG: Kesibukan tugas harian bukan penghalang buat anggota dan pegawai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang untuk turun padang ke kawasan pedalaman, demi mendekati masyarakat dan menyantuni komuniti luar bandar.
Laluan mencabar bukan halangan buat pasukan ini apabila mereka sanggup meredah perjalanan sukar menggunakan pacuan empat roda ke tiga sekolah pedalaman iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Terian, SK Buayan dan SK Longkogungan, baru-baru ini.
Program berimpak tinggi itu diketuai Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton bersama lapan pegawai dan anggota IPD Penampang, dengan bantuan logistik daripada pasukan NGO Support & Humanitarian Intervention For Emergency, Logistics & Defense (S.H.I.E.L.D.).
Sammy berkata, lawatan itu bukan sekadar menyampaikan bantuan, malah menjadi platform memperkukuh hubungan antara polis dan masyarakat, terutama pelajar dan guru di kawasan pedalaman.
“Melalui pendekatan kepolisan komuniti, pelajar dan penduduk turut diberi pendedahan awal mengenai peranan dan tanggungjawab bersama dalam menjaga keselamatan setempat.

“lawatan itu juga memberi peluang kepada pihak polis untuk menilai keperluan strategik termasuk potensi lokasi pendaratan helikopter, sistem komunikasi dan kemudahan logistik sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2025,” katanya.
Katanya lagi, program seperti ini secara tidak langsung membantu meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap institusi polis serta memperkukuh kesiapsiagaan pasukan di kawasan yang sukar diakses.
“Inisiatif ini selari dengan aspirasi PDRM untuk terus mendekati rakyat serta memperlihatkan imej pasukan polis yang mesra, prihatin dan proaktif.
“Polis dan masyarakat berpisah tiada,” katanya. – Info X