Search

Penduduk Kaiduan terima manfaat Program Kampung Angkat MADANI KPDN

July 13, 2025

Info X Reporters

PAPAR: Penduduk Kampung Kaiduan dan sekitarnya, di sini, menerima pelbagai manfaat hasil pelaksanaan Pogram Kampung Angkat Madani Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Program itu yang dilancarkan pada 24 Mei 2024 menyaksikan pelaksanaan sebanyak 16 projek pembangunan fizikal membabitkan peruntukan dana RM2.5 juta yang disalurkan kepada KPDN bagi program berkenaan.

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali yang menyempurnakan penyerahan projek kampung angkat itu di Kampung Kaiduan pada Sabtu, berkata program itu turut menyaksikan komitmen dan kerjasama semua pihak dalam menggerakkan projek yang dikenal pasti berdasarkan aspirasi penduduk setempat.

“Sebanyak 16 projek pembangunan fizikal yang disenaraikan telah siap sepenuhnya dan kini mula dimanfaatkan oleh penduduk.

“Antara projek utama termasuk membaik pulih jalan culvert, membina jambatan baharu dan naik taraf jalan Kampung Kaiduan.

“Turut siap ialah pembinaan jambatan baharu Low Level Crossing (LLC) di Kampung Ulu Kaiduan, naik taraf jalan di Kampung Bisuang dan pembinaan jambatan gantung baharu ke SK Kaiduan,” katanya.

Armizan menandatangani plak penyerahan projek Kampung Angkat Madani Kaiduan.

Ahli Parlimen Papar itu berkata, program itu turut menyiapkan pembinaan surau baharu dan dewan serbaguna di SK Kaiduan serta naik taraf gereja, balai raya dan pembinaan gelanggang sepak takraw baharu Kampung Bolotikon.

Tidak ketinggalan, katanya ialah penyiapan kerja membaik pulih jambatan gantung, membina laluan pejalan kaki berbukit dan menabur batu kasaran di jalan utama Kampung Moliyoun.

“Melalui program kampung angkat ini, pemasangan lampu solar di Kampung Kaiduan, Kampung Bisuang dan Kampung Bolotikon juga dilaksanakan,” katanya.

Jelasnya, projek yang telah siap itu disasar dapat meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat melalui akses perhubungan dan pengangkutan yang selamat, keselesaan rumah ibadat untuk aktiviti keagamaan dan merancakkan aktiviti sosio ekonomi masyarakat setempat.

Katanya, kejayaan program itu adalah hasil sinergi di antara KPDN, Kementerian Kewangan Malaysia, Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (SDO) dan Pejabat Daerah Papar sebagai agensi pelaksana.

“Saya ingin merakamkan
setinggi-tinggi penghargaan kepada pemimpin setempat dan seluruh warga Mukim Kaiduan atas sokongan dan kerjasama yang diberikan sepanjang proses pelaksanaan projek ini.

“KPDN berharap agar semua kemudahan yang telah disediakan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh seluruh penduduk Mukim Kaiduan.

“Kementerian turut menyeru agar usaha penyelenggaraan dan penambahbaikan berterusan dilakukan bagi memastikan inisiatif ini menjadi citra pembangunan lestari yang berkekalan,” katanya.

Pemilihan Kampung Kaiduan sebagai Kampung Angkat MADANI adalah berdasarkan beberapa kriteria, antaranya tahap liputan kemudahan asas yang masih berada di bawah 50 peratus. – Info X