Search

‘Rumah Kita, Kita Jaga’ panggilan patriotik untuk jaga negeri, bukan bermusuh dengan persekutuan – PBS

July 13, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) menyifatkan Slogan Rumah Kita, Kita Jaga sebagai panggilan patriotik kepada rakyat Sabah supaya bertanggungjawab terhadap negeri mereka sendiri.

Ketua Penerangannya, Datuk Joniston Bangkuai, berkata slogan yang dipegang Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu bukan untuk bermusuh dengan kerajaan persekutuan.

Sebaliknya, beliau berkata slogan itu mencerminkan ikatan kuat rakyat Sabah terhadap negeri mereka, sejajar semangat kesatuan, tanggungjawab dan kebanggaan yang terkandung dalam lagu kebesaran negeri.

“Slogan GRS itu dipilih untuk memberi inspirasi kepada pemilikan tempatan dalam membentuk masa depan Sabah dan menegaskan semula kepentingan memperkasa kepemimpinan tempatan dan pembuatan keputusan, khususnya oleh parti Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ceramahnya mengenai slogan Rumah Kita, Kita Jaga pada Konvensyen PBS-STAR di Hongkod Koisaan KDCA, di sini, pada Sabtu.

Ketua Penerangan GRS itu, berkata bait lagu kebesaran negeri yang menyebut ‘Sabah tanah airku, negeri kita yang tercinta’ dan ‘Sabah negeri merdeka’ adalah satu panggilan kepada rakyat Sabah untuk bersatu dan melindungi negeri mereka sejajar dengan slogan Rumah Kita, Kita Jaga.

“Slogan itu bukan anti persekutuan dalam apa saja cara kerana Sabah kekal komited terhadap Malaysia. Tapi, kita mahu dilayan sebagai rakan setara, di mana suara kita turut didengar dalam membentuk polisi negara.

“Keputusan terhadap infrastruktur, pendidikan dan pembangunan mesti mengambil kira realiti kita di sini, bukan ditentukan di Putrajaya yang tidak memahami sepenuhnya cabaran unik yang kita hadapi,” katanya.

Beliau memberi beberapa contoh keputusan dibuat tanpa rundingan dengan kerajaan Sabah, termasuk pembentukan Jawatankuasa Kemajuan Desa Madani (JKDM) dan pengumuman kerajaan persekutuan mengenai pembangunan bersama minyak dan gas di perairan Ambalat.

Beliau juga memperakui peningkatan pemberian khas kepada Sabah daripada RM53 juta kepada RM600 juta sebagai langkah yang positif, namun menjelaskan bahawa GRS tetap meneruskan tuntutan pengembalian kelayakan hasil 40 peratus seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jelasnya, slogan Rumah Kita, Kita Jaga bukan retorik politik, sebaliknya ia harus difahami sebagai panggilan realiti dan segera untuk layanan yang adil, berkongsi tanggungjawab dan hormat terhadap hak Sabah untuk membentuk laluannya sendiri dalam persekutuan Malaysia.

“Saya percaya jika konsep inu dilaksanakan sepenuhnya, ia akan membentuk hubungan yang lebih harmoni di antara Sabah dan kerajaan persekutuan,” katanya. – Info X