TENOM: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyokong usaha mengetengahkan lebih banyak bahasa etnik di Sabah untuk diajar di sekolah negeri ini.
Presidennya, Datuk Ewon Benedick, berkata selain bahasa Kadazandusun yang sudah dijadikan subjek pembelajaran di sekolah, beberapa lagi bahasa etnik turut dicadang untuk tujuan yang sama.
Katanya bahasa etnik Murut Timugon, Kadazan Tangaa, Tatana dan Lotud adalah antara yang dilihat perlu dimartabatkan menerusi pembelajaran secara rasmi di sekolah-sekolah kerajaan.
Beliau berkata, usaha itu penting bagi menyemarakkan lagi rasa kepunyaan serta menghargai peranan dan sumbangan setiap etnik dalam pembangunan negara.
“Saya konsisten menyokong pengajaran dan pembelajaran bahasa ibunda Kadazandusun yang sedang dilaksanakan di sekolah-sekolah kerajaan sekarang ini serta mendukung usaha memperkenal bahasa etnik lain seperti Murut Timugon, Kadazan Tangaa, Tatana dan Lotud di sekolah-sekolah kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika menyempurnakan Program Mini Karnival Budaya dan Bahasa Etnik Murut Timugon di Dewan Terbuka Paguakon, di sini, baru-baru ini.
Ewon berkata, UPKO menyokong penuh usaha yang dipelopori aktivis persatuan etnik Sabah dan guru-guru etnik yang kini giat membangunkan modul buku teks, buku kerja serta bahan pengajaran bahasa etnik.
“Pada tahun lalu, saya telah menyalurkan peruntukan tidak kurang daripada RM50,000 masing-masing bagi bahasa etnik Murut Timugon, Kadazan Tangaa, Tatana dan Lotud untuk menyiapkan modul buku kerja dan buku teks yang bakal diperkenalkan,” katanya.
Beliau berkata, dalam pertemuan rasmi bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, pada tahun lalu, satu jawatankuasa khas ditubuh untuk meneliti cadangan pelaksanaan pengajaran bahasa etnik itu secara rintis di kawasan yang mempunyai majoriti penutur bahasa berkenaan.
“Saya akan terus mendukung dan memantau usaha-usaha ini agar setiap etnik di negara ini dapat berbangga kerana hak, peranan dan sumbangan mereka juga dihormati dan ada tempatnya di negara kita,” katanya. – Info X