TAWAU: Tidak puas hati kerana kontrak sewa premis tidak disambung, seorang wanita bersama empat lelaki bertindak menyerang pemilik kedai di Taman Semarak, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, mangsa yang juga wanita berusia 36 tahun didatangi kumpulan terbabit sebelum dipukul, ditendang serta diugut untuk dibakar bersama premisnya.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek turut mengugut tidak akan melepaskan mangsa jika terserempak di luar.
“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham berhubung penyambungan kontrak sewa yang dijangka tamat Ogos ini.
“Suspek bertindak memukul dan menendang mangsa serta mengeluarkan ugutan untuk membakar premis berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, berikutan laporan polis yang dibuat, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau berjaya menahan dua suspek termasuk seorang lelaki berusia 27 tahun, pada jam 4.30 petang hari sama.
“Suspek wanita berusia 36 tahun tiada rekod jenayah, manakala suspek lelaki pula memiliki empat rekod membabitkan kes dadah dan khianat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 323 kerana mendatangkan kecederaan,” katanya.
Sementara itu, Jasmin turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri dalam menyelesaikan pertikaian, sebaliknya menyerahkan kepada pihak berkuasa. – Info X