Search

warga asing ‘mengamuk’ ugut keluarga ditahan

July 13, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki warga asing bertindak agresif dan mengugut ahli keluarganya sendiri di sebuah rumah di Kinabutan Batu 5, Jalan Apas, di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 11.30 malam itu, suspek berusia lingkungan 40-an dilaporkan ‘mengamuk’ secara tiba-tiba sambil membawa sebatang kayu dan mengugut mahu mengambil parang untuk menetak penghuni rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek yang juga sepupu kepada isteri mangsa dipercayai bertindak demikian tanpa sebarang motif jelas.

“Pihak polis menerima laporan jam 12.56 tengah malam sebelum sepasukan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) IPD Tawau digerakkan ke lokasi kejadian dan berjaya menahan suspek.

“Turut dirampas ialah sebatang kayu berukuran tiga sentimeter lebar dan 70 sentimeter panjang yang digunakan suspek,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tambahnya, siasatan lanjut mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – Info X