Search

Lelaki memandu melulu, tunjuk isyarat lucah, ditahan

July 13, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Sudahlah memandu secara melulu, bila ditegur tunjuk ‘samseng’ pula, akhirnya lelaki berusia 32 tahun itu ‘dikutip’ polis selepas ugut dan cabar seorang wanita di jalan raya.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari, Rabu lalu, mangsa yang juga juruteknik wanita sedang memandu Perodua Ativa di Jalan Apas sebelum sebuah Perodua Myvi keluar dari simpang Jalan Kobuta secara melulu, nyaris menyebabkan kemalangan.

Tidak puas hati dibunyikan hon, suspek memberhentikan kenderaan, keluar dan menunjukkan isyarat lucah sambil mencabar mangsa seolah-olah mahu bergaduh.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, mangsa yang berasa terganggu dan ketakutan terus membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

“Hasil maklumat, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau berjaya menahan suspek di hadapan sebuah penginapan sekitar bandar Tawau pada jam 2.50 petang, semalam.

“Semakan mendapati suspek mempunyai enam rekod lampau membabitkan kesalahan dadah termasuk Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) yang direkodkan di Papar, Kuala Lumpur dan Tawau,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara cuai dan membahayakan pengguna jalan raya lain.

Sementara itu, Jasmin turut menasihatkan orang awam supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya serta mengawal emosi ketika berhadapan situasi tegang di jalan raya.

“Sebarang tindakan agresif atau ugutan terhadap pengguna jalan raya lain bukan sahaja membahayakan keselamatan, malah boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Orang ramai juga digesa segera melaporkan sebarang kejadian membabitkan kelakuan mencurigakan atau membahayakan kepada pihak polis untuk tindakan segera,” katanya. – Info X