Search

Mayat mangsa serangan buaya di Sandakan ditemui

July 15, 2025

Info X Reporters

SANDAKAN: Mayat lelaki yang dilaporkan disambar buaya ketika menjala ikan di sungai berhampiran Taman Kenari, di sini, semalam ditemui hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, mangsa Obing Markum, 30-an, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 2.14 petang.

“Mayat mangsa ditemui kira-kira satu kilometer dari lokasi bot mangsa.

“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada polis pada jam 8.50 pagi, selepas menerima laporan kehilangan mangsa.

Sepasukan anggota bomba kemudian diarah ke lokasi yang terletak lapan kilometer sejurus menerima panggilan itu.

Difahamkan, kawasan berkenaan pernah mencatat beberapa insiden serangan buaya sebelum ini.

Kejadian terakhir direkodkan pada September 2022, membabitkan seorang lelaki yang disambar reptilia ganas itu ketika menyeberangi sungai menggunakan rakit buatan sendiri. – Info X