Search

Selesai dulu isu air, elektrik, jalan berlubang sebelum bangunkan bandar baharu

July 17, 2025

Info X Reporters

KINABATANGAN: Pemimpin UMNO Kinabatangan mahu kerajaan negeri menyelesaikan terlebih dahulu isu air, elektrik dan jalan rosak sebelum melaksanakan pembangunan bandar baharu di Kota Kinabatangan.

Ketua Penerangan UMNO Kinabatangan, Rahia Arpaih, berkata isu tiga serangkai itu perlu diselesaikan berikutan rungutan rakyat yang jelas berdepan masalah keperluan asas berkenaan.

“Saya menyambut baik hasrat membangunkan bandar baharu di Kinabatangan walaupun kini masih belum kelihatan bayangnya.

“Pembangunan yang dirancang dengan bijak sememangnya mampu merangsang ekonomi setempat dan membawa limpahan manfaat kepada rakyat.

“Namun, perlu ditegaskan pembangunan tidak boleh didirikan atas infrastruktur yang rapuh, lebih-lebih lagi apabila rakyat masih terperangkap dengan masalah asas yang belum diselesaikan.

“Air, elektrik dan jalan raya, tiga serangkai ini bukan isu baharu. Ia sudah menjadi luka lama yang terus bernanah dalam kehidupan harian rakyat luar bandar, khususnya di Kinabatangan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada November 2024, Majlis Daerah Kinabatangan memeterai perjanjian usaha sama dengan sebuah syarikat pemaju bagi membangunkan bandar baharu Seri Milian di atas tapak seluas 157.48 ekar di Kota Kinabatangan.

Rahia berkata, adalah tidak rasional untuk mendahulukan projek pembangunan komersial ketika rakyat masih berdepan masalah gangguan bekalan air, elektrik dan terpaksa menggunakan jalan raya rosak.

“Bercakap soal bandar baharu tetapi membiarkan paip air kering, jalan berlubang dan elektrik yang kerap terputus bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah menghina rasional rakyat.

“Air, khususnya, perlu menjadi keutamaan nombor satu. Jika di Kota Kinabalu ibu negeri Sabah sendiri pun peniaga terpaksa tutup kedai kerana tiada air, bayangkan nasib rakyat di Kinabatangan.

“Apa maknanya bangunan baharu jika bilik air tidak berfungsi, dapur tiada bekalan dan pelabur sendiri berdepan risiko operasi?

“Saya tidak menolak pembangunan tetapi saya menolak gimik pembangunan yang tidak menyelesaikan keperluan sebenar rakyat,” katanya.

Beliau menegaskan, infrastruktur asas bukan pelengkap kepada pembangunan, sebaliknya ia adalah syarat asas kepada pelaburan dan kesejahteraan.

“Saya menjangkakan jika masalah tiga serangkai ini terus dipandang sepi, pelabur bukan sahaja tidak akan datang yang sudah ada pun akan cabut lari.

“Siapa mahu melabur dalam daerah yang tidak mampu bekalkan keperluan paling asas?

“Pemimpin yang hanya pandai melancarkan projek tetapi gagal membekalkan air bersih, bukan layak digelar perancang pembangunan tetapi hanya pelukis pelan atas angin,” katanya. – Info X